Utama » Berita

Sainsku Cemerlang

4 June 2009
all1

Sekolah Menengah Sains Kuching sekali lagi menjadi perhatian di kalangan sekolah berasrama apabila berjaya meraih gelaran Anugerah Asrama Terbilang, Sekolah Berasrama Penuh yang telah diumumkan pada hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh Ke-36 yang telah diadakan dari 28 Mei hingga 2 Jun di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya. Sainsku membawa pulang sebuah piala pusingan dan hadiah wang sebanyak RM10,000.  Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah mendapat tempat kedua sementara SBP Intergrasi Gombak tempat ketiga.

Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada asrama yang gemilang dan terbilang dalam kalangan Sekolah Berasrama Penuh yang mana telah berjaya mewujudkan iklim asrama yang kondusif bagi melahirkan pelajar Sekolah Asrama Penuh yang terbilang. Penilaian dibahagikan kepada tiga(3)  fasa iaitu Penilaian Kendiri, Penilaian Fasa ke-2 dan Penilaian Fasa ke-3.  Anugerah Asrama Terbilang mengambil kira pengurusan dan pentadbiran asrama (35%), pengurusan fizikal (30%), pelaksanaan Sistem Rumah (25%) dan kemenjadian murid (10%).

Pasukan Bola Keranjang Sainsku juga menunjukkan kehebatan mereka apabila berjaya menjadi Johan Bola Keranjang antara SBP dan sekaligus merebut dan membawa pulang Piala Tun Dato” (Dr) Haji Hamdan Sheikh Tahir dari tangan Kolej Melayu Kuala Kangsar yang telah dipegang oleh mereka sejak 2004. Ini merupakan kali pertama piala pusingan tersebut dibawa ke Kepulauan Borneo. Sainsku mengalahkan Sekolah Dato’ Abdul Razak dengan 65 berbalas 62. Zainuddin Adam dari Sainsku pula dianugerahkan sebagai Penjaring Terbanyak pada kejohanan kali ini sekaligus membawa piala pusingan Penjaring Terbanyak.

Tahniah diucapkan kepada semua  pelajar Sainsku yang telah mengambil bahagian pada kejohanan kali ini. Semoga kejohanan akan datang akan lebih cemerlang lagi.