Anugerah Perak Wind Orchestra
LIMA buah sekolah, iaitu Sekolah Tun Fatimah, Sekolah Alam Shah, Kolej Tunku Kurshiah, Sekolah Datuk Abdul Razak dan Sekolah Seri Puteri terpilih ke pertandingan akhir Wind Orchestra Ke-8 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur 17 Julai ini.
Pemilihan kelima-lima sekolah itu juga melakar sejarah kerana buat pertama kalinya mereka beraksi di depan para delegasi antarabangsa yang hadir untuk Persidangan Sedunia Pendidikan Muzik anjuran UNESCO di Kuala Lumpur.
Kemenangan yang disifatkan memberi erti yang besar kepada semua sekolah itu juga membawa petanda bahawa pendidikan muzik kini bukan sekadar pendidikan tempelan tetapi sesuatu yang serius yang turut membantu perkembangan minda pelajar.
Justeru, kata ketua hakim pertandingan tersebut - juga komposer yang terkenal - Datuk Johari Salleh, pendidikan muzik di sekolah perlu tumpuan yang serius dalam kalangan pendidik seni.
Beliau turut menegur dalam kalangan peserta yang menampilkan persembahan secara `tangkap muat’ tanpa latihan dan keprihatinan daripada pihak sekolah.
“Saya kasihan kerana mereka tidak diberi bimbingan yang sewajarnya oleh guru dan pihak sekolah,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan para peserta yang berjaya ke pertandingan akhir supaya terus memperbaiki mutu persembahan.
“Memang mereka adalah yang terbaik kerana layak ke pertandingan akhir namun masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki,” katanya.
Malah beliau turut menasihatkan para peserta supaya menggunakan peluang beraksi di hadapan delegasi antarabangsa untuk mempamerkan kehebatan seni Melayu.
Pertandingan Wind Orchestra bermula pada tahun 1997 dimenangi oleh Sekolah Tun Fatimah di Johor Bahru dengan dirasmikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Menteri Pelajaran.
Pada tahun ini pelaksanaannya berbeza kerana ia dilakukan dalam dua peringkat iaitu melalui pertandingan awal manakala pertandingan akhir akan diadakan pada Julai ini bersempena Persidangan Sedunia Pendidikan Muzik yang pertama kali dianjurkan di Malaysia dan di Asia Tenggara.
Pada tahun ini sekali lagi Sekolah Seri Puteri terpilih sebagai tuan rumah dan pernah menjadi tuan rumah bagi acara yang sama pada tahun lalu.
Pertandingan yang berlangsung selama empat hari itu iaitu bermula 10 Mac turut diisi dengan beberapa bengkel mengenai muzik kepada para peserta.
Bengkel itu dilaksanakan oleh gabungan jurulatih profesional dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Simfoni Kebangsaan dan Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Para hakim pertandingan awal kali ini diketuai oleh Johari dengan dibantu oleh Drs. Yoesbar Djailani, Muhammad Shukor Abd. Moner, Mohd Asnawi Mutaal dan Akbar Nawab.
Pertandingan awal kali ini hanya membabitkan sekolah berasrama penuh (SBP) dan telah disertai oleh 18 SBP.
Pada akhir pertandingan sebanyak lapan sekolah menerima Anugerah Emas iaitu Sekolah Menengah Sains (SMS) Syed Sheikh Shahabuddin, SMS Raja Tun Azlan Shah, Sekolah Datuk Abdul Razak, SM Sultan Abdul Halim, Kolej Tunku Kurshiah, Sekolah Alam Shah dan Sekolah Seri Puteri.
Anugerah Perak pula diberi kepada SMS Sultan Muzaffar Syah, Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Kolej Melayu Kuala Kangsar, SMS Sultan Mahmud, SMS Kota Tinggi, SMS Machang, SMS Kuching dan SMS Dungun.
Dua buah SBP iaitu SMS Sultan Hj. Ahmad Shah dan SMS Selangor menerima Anugerah Gangsa.
Majlis pengumuman keputusan tersebut yang dilakukan di Sekolah Seri Puteri turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Manusia) Kementerian Pelajaran, Datin Jamaliah Kamis dan Pengarah Bahagian Sekolah, Salleh Mohd Husein dan Pengetua Sekolah Seri Puteri, Sabihah Ibrahim.
Sumber : http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2006&dt=0322&pub=DuniaPendidikan&sec=Berita&pg=be_01.htm











